Free Delivery for Orders More than RM100!
Bayi

Perkembangan Bayi Dalam 6 Bulan Pertama

bayi 6 bulan

Perkembangan bayi dalam 6 bulan pertama

Perkembangan bayi adalah antara perkara penting yang akan dipantau sepanjang masa ibubapa berada bersama-sama dengan bayi. Tumbesaran dari segi fizikal dapat dilihat dan dirasai apabila mendukung dan bermain bersama bayi. Untuk ukuran yang lebih tepat, boleh bertanya pada doktor apabila tibanya waktu untuk temujanji berjadual dengan doktor.

Kebiasaanya doktor akan menimbang berat bayi dan mengukur panjang badan bayi untuk dijadikan kayu pengukur samada bayi sedang membesar dengan baik atau tidak. Berat bayi pada usia 6 bulan selalunya adalah dua kali ganda dari beratnya semasa dia lahir.

Namun begitu, bagaimana untuk mengetahui tanda aras atau kadar tumbesaran normal bagi bayi?

Kali ini, perkembangan bayi pada usia 6 bulan akan diberi perhatian. 6 bulan bayi membesar di samping ibubapa, apakah kebolehan mereka pada usia ini?

Aktiviti fizikal

Antara kebolehan fizikal yang boleh dilakukan oleh bayi berumur 6 bulan adalah menggulingkan badan. Bayi berumur 6 bulan boleh memusingkan badan dari kiri ke kanan dan mampu menggolekkan badan dari kedudukan menelentang ke meniarap. Masa menukar lampin akan menjadi waktu di mana bayi akan mencuba untuk memusingkan badan mereka.

Ibu dan ayah boleh memberikan masa untuk bayi menggulingkan badan mereka, dan kemudian diterbalikkan untuk memakai lampin.

Pada usia ini, perkembangan otot-otot bayi sudah cukup kuat untuk dia mencuba untuk meniarap. Adakalanya bayi akan cuba untuk duduk dan meniarap sendiri tanpa bantuan ibu dan bapa.

milk booster terbaik

Mereka sudah mula boleh duduk tanpa perlu bersandar dan tidak akan terjatuh. Duduk, meniarap dan bergolek akan menjadi aktiviti kegemarannya di usia 6 bulan ini.

Duduk, bergolek dan meniarap adalah perkembangan normal bagi bayi berusia 6 bulan.  Aktiviti ini dikenali sebagai gerakan motor kasar.

Perbuatan ini dikira sebagai perbuatan yang jelas dan bayi akan menggunakan otot utama pada lengan, peha dan betis. Otot belakang mereka juga mula menguat, termasuklah leher.

Selain gerakan motor kasar, terdapat satu lagi gerakan yang dikenali sebagai gerakan motor halus. Gerakan ini mengunakan anggota badan yang lebih terperinci seperti jari jemari bayi.

Aktiviti untuk gerakan motor halus adalah seperti menggenggam mainan, mencampak mainan keatas lantai, mencapai mainan tergantung dan memasukkan barangan atau makanan yang dipegang kedalam mulut.

Aktiviti sebegini memerlukan koordinasi mata dan tangan. Ini penting sebagai tanda aras perkembangan bayi pada usia 6 bulan. Di masa ini, bayi akan cenderung untuk melontar atau menjatuhkan barang keatas lantai.

Ini kerana mereka ingin tahu apakah kesan lontaran mereka itu. Bola yang melantun atau patung berloceng yang jatuh menghasilkan bunyi yang menarik perhatian bayi.

Jari jemari mereka juga akan mula menggenggam dengan kuat. Berikan bola getah untuk digenggam dan dilontarkan dan itik yang menghasilkan bunyi apabila digenggam. Ibubapa juga boleh memberikan sesuatu yang mudah untuk digigit seperti mainan untuk gigi mereka.

Permukaan yang berlainan pada mainan bayi juga boleh merangsang deria sentuhan mereka pada usia 6 bulan. Ini semua akan membantu bayi menguatkan pergerakan motor halusnya.

Koordinasi tangan, jari jemari dan mata akan berlaku apabila bayi cuba untuk mencapai sesuatu yang tergantung. Mainan bayi perlbagai warna dan bentuk yang digantung di atas katil mereka dapat memberikan rangsangan untuk mereka mula mencapai ke atas.

Apabila didukung, bayi juga akan cuba untuk mencapai apa saja yang menarik perhatian mereka. Tali leher bapa atau kerongsang ibu yang berkilat menjadi amat menarik untuk bayi sentuh dan capai.

Mainan bayi pada umur 6 bulan lebih fokus kepada koordinasi mata dan tangan. Cari permainan bayi yang boleh dimain dalam keadaan duduk dan melibatkan koordinasi mata dan jari jemarinya. Buku aktiviti yang melibatkan warna terang, sentuhan pelbagai permukaan dan permainan melibatkan jari adalah yang terbaik untuk merangsang pergerakan motor halus bayi.

Untuk merangsang gerakan motor kasar, letakkan mainan sedikit jauh dari bayi. Ini membuatkan mereka berusaha untuk bergerak ke arah mainan tersebut. Bayi pada usia 6 bulan boleh mengesot dan menolak kaki mereka apabila meniarap. Ini melatih perkembangan otot kaki dan tangan serta otot belakang mereka.

Ini adalah perkembangan semulajadi sebelum otot kaki mereka bersedia untuk merangkak.

Pada umur ini, perkembangan otak bayi dan koordinasi anggota badan menjadi pemerhatian utama ibubapa. Usia 6 bulan ini sangat menarik di mana ibubapa dapat melihat bayi menjadi sangat bijak, lincah, aktif dan amat mudah dirangsang.

Apa sahaja di sekeliling mereka boleh menjadi rangsangan untuk memastikan gerakan motor kasar dan halus dapat dilatih dan berkembang.

Namun begitu, usia 6 bulan ini adalah usia di mana ibubapa dan penjaga perlu lebih berhati-hati. Oleh kerana bayi suka untuk bergolek, duduk dan memusingkan badan, berhati-hati ketika meletakkan mereka di tempat yang tinggi. Sentiasa pastikan ada orang dewasa memerhatikan bayi.

Seeloknya, salin lampin bayi di atas lantai dan jika bayi tidur didalam katil bayi, pastikan palang katil diangkat sebagai langkah berjaga-jaga.

Oleh kerana perkembangan bayi pada usia 6 bulan ini melibatkan bayi mencapai apa saja yang mereka boleh, keselamatan bayi perlu menjadi perkara utama. Kebanyakan masanya, bayi akan memasukkan benda yang mereka capai kedalam mulut untuk merasa tekstur dan rasa benda tersebut.

Ini menyebabkan mereka terdedah kepada bahaya yang tidak dijangka. Antaranya adalah habuk, duit syiling dan anting-anting. Ibubapa perlu memastikan keadaan sekeliling bayi bebas dari sesuatu yang boleh menyebabkan bayi tercekik atau tertelan sesuatu yang membahayakan mereka.

Komunikasi

Selain pergerakan tangan dan kaki bayi, perkembangan lain di umur 6 bulan yang dapat dilihat adalah dari segi lontaran suara yang cuba dilakukan. Bayi diusia ini akan cuba untuk berkomunikasi dengan orang sekeliling dengan cara selain dari menangis.

Mereka akan ketawa dan cuba untuk menggunakan suara mereka dengan mengeluarkan bunyi seperti ‘ma’, ‘da’, ‘pa’ atau ‘ammm’. Kesemua ini adalah cubaan bayi untuk berkomunikasi dengan orang sekeliling.

Ibubapa haruslah menggalakkan bayi mereka dengan cuba untuk bercakap dan membacakan buku cerita kepada mereka. Kajian mendapati jumlah kosa kata yang digunakan oleh ibubapa dalam komunikasi harian dihadapan anak-anak sejak bayi mempengaruhi kebolehan anak-anak untuk membaca dan bertutur.

Selain buku kanak-kanak, surat khabar atau buku cerita juga boleh dibacakan kepada bayi sewaktu umur 6 bulan ini.

Terdapat kajian yang mengatakan bahawa penggunaan dwi bahasa oleh ibubapa semasa berkomunikasi dengan bayi dan sesama sendiri diawal perkembangan bayi dapat meningkatkan kemahiran bahasa bayi. Bahasa yang berbeza mempunyai kosa kata yang berbeza.

Oleh itu, memperkayakan kosa kata yang digunakan semasa berkomunikasi dengan bayi atau dengan orang lain dengan kehadiran bayi dapat membantu perkembangan bayi.

Dihadapan bayi, pastikan ibubapa mengucapkan perkataan yang baik-baik. Nasihatkan orang sekeliling yang berdampingan dengan bayi untuk menjaga kata-kata yang diucapkan.

Walaupun bayi nampak terlalu kecil untuk memahami keadaan sekeliling, ketahuilah bahawa mereka mampu dan akan menggunakan kembali kata-kata yang sering diucapkan pada mereka. Mereka cenderung untuk mengucapkan apa yang selalu didengari.

Pemakanan

Usia 6 bulan adalah usia yang menarik kerana bayi akan menunjukkan watak, personality dan kelakuannya sendiri. Diusia ini juga bayi sudah boleh diperkenalkan pada makanan selain dari susu ibu atau susu formula!

Tibalah masa untuk ibu melatih bayi untuk menggunakan otot rahang dan gigi mereka (jika sudah tumbuh) untuk merangsang penumbuhan dan perkembangan yang lebih optimum.

Bayi pada umur 6 bulan boleh diperkenalkan pada makanan yang telah dikisar. Perlu diingat, walaupun mereka sudah berumur 6 bulan, sistem pencernaan mereka masih belum matang. Berikan makanan yang mudah dihadam seperti buah-buahan yang dikisar. Sayur-sayuran juga antara makanan yang selalu diberikan kepada bayi.

Tetapi ia perlu dimasak untuk melembutkan dan dikisar untuk membantu bayi menelan dan mencerna.

Bagaimana ibubapa tahu yang bayi mereka sudah mula mahu makan? Selalunya, bayi akan menggerakkan mulut mereka seperti mereka juga sedang mengunyah. Ini selalu terjadi apabila bayi melihat ibu dan bapanya sedang makan, lalu mereka meniru gaya mulut ibu dan bapa. Ini salah satu tanda yang bayi sudah tahu dan mahu untuk makan.

Selain itu, pastikan bayi sudah boleh membawa makanan kebahagian belakang mulut mereka. Meminum susu dan membawa makanan kebelakang mulut adalah perkara berbeza. Pastikan makanan pertama mereka dikisar dengan sangat halus dan dapat ditelan dengan mudah.

Seeloknya kisar dan campurkan dengan air supaya makanan itu secair mungkin, mirip dengan susu dan air yang selalu diminum bayi.

Setiap bayi adalah individu unik

Walaubagaimanapun, ibubapa haruslah ingat bahawa setiap bayi adalah individu yang unik. Tiada satu senarai semak yang tetap yang digunakan para doktor sebagai tanda aras untuk bayi.

Senarai yang diberikan diatas adalah satu senarai semak umum. Jika ibubapa mempunyai bayi yang tidak mempamerkan pergerakan seperti yang dinyatakan, berikan ruang dan peluang pada bayi untuk berkembang pada tahap keupayaannya.

Ibubapa juga boleh membantu bayi dalam perkembangan fizikal dan mental mereka. Urutan lembut untuk bayi selepas mandi pada otot tangan, kaki dan belakang badan membantu mengeratkan hubungan dengan bayi serta menjadi perangsang pada pertumbuhan bayi.

Cuba memberi motivasi dan kata semangat pada bayi apabila melihat bayi sedang cuba bergerak atau mencapai sesuatu.

Berbual dengan bayi dan bermain permainan ‘cak cak’ dengan mereka. Cuba untuk buat mereka ketawa dengan membuat bunyi luarbiasa. Ada juga bayi yang akan ketawa apabila mendengar ibubapanya ketawa.

Apabila mereka membuat bunyi seperti ‘ma’, ‘aaaa’ dan lain-lain, layan mereka seolah-olah sedang berbual tentang sesuatu. Panggil nama mereka sambil menunjuk pada mereka. Luangkan masa untuk berbual dan bermain dengan bayi sekerap mungkin.

Jika bayi masih tidak mempamerkan apa-apa perkembangan, ibubapa boleh membawa bayi berjumpa dengan doktor atau pakar kanak-kanak untuk pemeriksaan lanjut. Sememangnya menjadi suatu kerisauan jika bayi berumur 6 bulan tidak aktif seperti bayi seusianya.

Perkembangan bayi pada usia 6 bulan adalah penting untuk tumbesaran mereka dimasa akan datang. Pemerhatian berpanjangan dapat membantu bayi berkembang dengan sebaik mungkin.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *