Free Delivery for Orders More than RM100!
Petua & Nasihat

Bayi Sembelit

18895982 – mother doing gymnastics her baby infant

Sebagai ibu bapa baru, pengalaman mengendalikan bayi pastinya menyeronokkan, namun adakalanya pengalaman ini mencetuskan rasa risau dan bimbang sekiranya keadaan bayi kelihatan tidak normal.

Sembelit boleh digambarkan sebagai kesukaran membuang air besar, tidak membuang air besar dengan kerap dan najis yang keras. Ada juga najis yang keras yang kadangkala berdarah kerana kesukaran mengeluarkan najis semasa membuang air besar menyebabkan saluran anus mengalami luka kecil, lalu membawa sedikit darah bersama najis keluar. Sembelit adalah sesuatu yang tidak menyenangkan pada orang dewasa dan boleh menjadi lebih menyakitkan pada bayi dan kanak-kanak.

Kadang kala, kesan daripada membuang najis yang keras boleh membuatkan bayi menahan daripada membuang air besar yang berikutnya. Ini kerana mereka masih ingat kesakitan membuang air besar yang lepas.

Ini boleh merumitkan lagi keadaan kerana untuk menghilangkan sembelit haruslah dengan membuang air besar dengan najis yang lembut dan sekerap seperti yang selalu.

Ada juga satu keadaan berkaitan sembelit yang dikenali sebagai dyschezia dimana bayi kurang dari 3 bulan yang masih didalam proses untuk belajar bagaimana untuk membuang air besar dan mengalami kesukaran dalam proses pembelajarannya.

Ini mungkin menyebabkan bayi yang sihat itu menjerit, menangis, mukanya berkerut dan bergelut sehingga mukanya menjadi kemerahan untuk beberapa minit sebelum proses membuang air besar selesai.

Pergerakan yang diperlukan semasa membuang air besar adalah penyelarasan di antara pengenduran otot lantai pelvis dan pengecutan otot perut. Pengecutan otot perut juga berlaku apabila bayi menangis.

Jadi bayi hanyalah sedang cuba sedaya upaya untuk membuang air besar dengan bantuan tangisannya sendiri. Ia mungkin kelihatan menakutkan pada ibubapa, dan perasaan kasihan pasti timbul.

Walaubagaimanapun, ketahuilah bahawa bayi itu hanyalah mahu membuang air besar sahaja.

Bagaimana untuk mengenalpasti tanda-tanda sembelit?

Sebagai ibubapa dan penjaga, ciri-ciri najis bayi adalah salah satu perkara utama yang perlu diberi perhatian. Ia adalah penting untuk membuat pemerhatian pada perlakuan dan najisnya setiap kali bayi membuang air besar kerana najis bayi biasanya memberi tanda-tanda tertentu seperti tidak sihat dan sebagainya.

Bayi, sebagaimana orang dewasa, kadangkala membuang air besar yang tidak berjadual. Kadangkala konsistensi lebih baik dari kekerapan. Di sinilah pemerhatian terhadap corak membuang air besar dan ciri-ciri najis bayi penting.

Jika ibubapa dan penjaga biasa dengan corak dan ciri-ciri najis dan pembuangan air besar bayi, dia akan lebih tahu apabila ada sesuatu yang di luar kebiasaan.

Antara aksi-aksi bayi yang dapat dilihat bila sembelit adalah semasa dia membuang air besar, dia menangis, mengerutkan muka sehingga kemerahan, angin dan najis yang keluar berbau sangat busuk, tidak mahu menyusu atau makan dan perut bayi keras dan dia tidak selesa bila perutnya dipegang.

Jika najis berjaya keluar, najisnya keras, mudah pecah, dan kelihatan seperti makanan arnab. Kadangkala najis bayi terlalu keras sehingga menyebabkan luka kecil di anus bayi. Ini menyebabkan bayi merasa sakit dan tidak selesa dan mungkin membuatkan bayi merasa takut untuk membuang air besar.

Bayi yang mengalami sembelit akan berada dalam keadaaan tidak selesa, mudah mengamuk, merengek dan tidak mahu makan atau mium. Bayi yang sudah boleh berjalan mungkin akan berjalan ke satu sudut atau tempat yang tidak ramai orang untukmencangkung, menyorok atau untuk berjengket. Berjengket boleh disebabkan oleh perasaan mahu berdiri tegak kerana secara biologinya mereka tahu jika mereka merengkot atau membongkok, ia akan menyebabkan pembuangan air besar berlaku.

Oleh kerana bayi masih ingat persaan sakit dan kesulitan dari sembelit yang lalu, mereka tidak mahu membuang air besar dan menahan dengan cara ini. Jumlah pembuangan air besar mugkin berbeza di antara bayi. Diet bayi juga menentukan berapa banyak kali mereka membuang air besar. Informasi di bawah adalah sebagai rujukan yang boleh diguna pakai oleh ibu bapa.

Sekiranya anda masih bimbang, dapatkan bantuan dari doktor dan pegawai perubatan.

Berikut adalah usia bayi dan purata membuang air besar mengikut had umur:

Bayi baru lahir

Ia adalah penting untuk bayi yang baru dilahirkan untuk membuang air besar pertama mereka (meconium) sebagai satu tanda yang bayi tidak menghidapi penyakit Hirschsprung. Pemerhatian ini biasanya dilakukan oleh jururawat di hospital semasa bayi dilahirkan. Penyakit Hirschsprung memerlukan pembedahan.

1 ke 3 bulan – Dalam 3 kali sehari

Sehingga 40 kali seminggu, atau 3 kali sehari, bergantung pada diet bayi. Bayi yang menyusu secara esklusif dengan susu ibu (meminum susu ibu sahaja tanpa makanan lain) boleh bertahan selama seminggu sebelum membuang air besar, tetapi kebiasaannya akan membuang air besar sekali dalam tiga atau empat hari. Ini adalah normal selagi najisnya lembut, tiada darah dan bayi tidak dalam kesakitan selepas membuang air besar.

Jika bayi diberikan susu formula, najis akan menjadi lebih pejal, besar dan akan membuang air besar lebih kerap dari bayi menyusu ibu, sehingga 58 kali seminggu atau dua kali sehari. Namun, jika bayi tidak membuang air besar seperti selalu atau najisnya keras, bayi haruslah dibawa berjumpa doktor dengan kadar segera.

Jangan berikan sebarang ubat pada bayi sekecil ini tanpa berjumpa doktor.

3 ke 6 bulan – Dalam 2 ke 4 kali sehari

Apabila bayi meningkat ke umur ini, bayi-bayi yang menyusu (susu ibu dan formula) akan mula membuang air besar pada kadar yang sama, iaitu 2 ke 4 kali sehari. Ini kerana sistem penghadaman mereka sudah lebih matang dari semasa mereka baru lahir.

6 ke 12 bulan – Dalam 2 kali sehari

Dengan pengenalan pada makanan pejal pada umur 6 bulan, ciri-ciri najis dan kekerapan membuang air besar juga akan berubah mengikut diet. Semasa minggu pertama memakan makan pejal, sistem penghadam akan cuba menyesuaikan diri untuk memproses makanan yang dimakan.

Ini mungkin akan menyebabkan sembelit atau lambat membuang air besar dari selalu. Bayi juga akan mula membuang air besar dua kali sehari.

Apakah yang menyebabkan sembelit?

  1. Perubahan diet bayi

Bayi boleh menyusu dengan susu ibu dan susu formula, atau memakan makanan bayi.

Setiap kali ada perubahan dalam dietnya, najis dan corak pembuangan air besarnya juga akan berubah. Ini adalah sesuatu yang normal. Tetapi, pengawasan pada ciri-ciri najis bayi akan dapat membantu dalam mengenalpasti corak najis untuk masa akan datang.

Perubahan dari susu ibu ke susu formula mungkin akan menyebabkan sembelit kerana susu formula akan mengeraskan najis bayi. Kadangkala bayi tidak mempunyai toleransi terhadap kandungan susu formula yang boleh membuatkan bayi sembelit.

2. Bayi tidak sihat

Jika bayi tidak sihat, batuk, atau tidak selesa, dia mungkin akan menolak untuk disusukan atau diberi makan seperti selalu. Ini dapat menyumbang kepada kekurangan air dalam badan. Untuk bayi sihat seperti sedia kala dan tidak sembelit, kekurangan air dalam badan haruslah dielakkan.

Penting untuk bayi mendapat air secukupnya.

3. Pengenalan kepada makanan pejal

Pengenalan kepada makanan pejal kepada bayi berumur 6 bulan ke atas juga mungkin akan mengubah ciri-ciri najis bayi. Ini akan menjadikan ia lebih sukar untuk mengenalpasti makanan manakah yang membuatkan bayi sembelit. Kadangkala makanan yang disediakan tidak mempunyai serat dan air yang cukup untuk membantu penghadaman dan membuatkan bayi sembelit.

4. Bercerai susu

Bercerai susu badan juga boleh menyumbang kepada sembelit kerana bayi akan kekurangan air pada mula proses bercerai susu terjadi. Walaupun sangat jarang, sembelit boleh menjadi salah satu tanda penyakit sindrom metabolik. Sembelit juga boleh disebabkan oleh alahan pada makanan atau keracunan makanan.

5. Kelahiran pramatang

Bayi pramatang juga boleh mengalami sembelit kerana anatomi badan mereka belum membesar sepenuhnya seperti bayi lain, membuatkan sistem penghadaman mereka tidak berfungsi pada kadar yang optimum.

5 Cara merawat sembelit

Berikan bayi anda susu ibu

Susu ibu adalah yang terbaik untuk bayi. Sebaiknya bayi disusukan secara esklusif dalam tempoh 6 bulan pertama. Susu ibu lebih mudah dihadam dan dapat diserap dengan baik oleh bayi. Kemungkinan untuk bayi menyusu susu ibu untuk mengalamimasalah sembelit adalah rendah.

Namun, sekiranya bayi masih sembelit, cuba nilai semula diet dan pemakanan ibu. Banyakkan minum air masak, dan makan buah-buahan yang mengandungi serat.

Periksa cara bancuhan susu formula

Jika bayi meminum susu formula, cuba berikan 1 auns air padanya. Periksa kadar susu dan air yang betul pada tin susu formula untuk memastikan kadar air yang dibancuh adalah betul. Ibu boleh cuba memasukkan air terlebih dahulu sebelum memasukkan susu semasa membancuh susu formula bayi.

Kadangkala memasukkan susu sebelum air akan mengurangkan jumlah air dalam bancuhan kerana visualnya yang menampakkan seolah-olah susu itu cair.

Berikan jus buah atau puree buah-buahan

Jika bayi sudah mula memakan makanan pejal, jumlah cecair yang diambil dalam sehari mungkin berkurangan secara mendadak. Cuba berikan bayi air atau jus buah-buahan asli yang diperah dari buah yang sudah dicairkan dengan air. Berikan pada bayi di antara waktu makannya.

Ibu juga boleh menambah makanan berserat dan yang mengandungi kuantiti cecair yang tinggi dalam makanan bayi seperti sayuran dan buah-buahan yang dikisar, puree atau dipotong kecil, bergantung pada keupayaan bayi untuk makan.

Kurangkan makanan pengikat seperti nasi, pisang dan lobak merah kerana makanan jenis ini mengurangkan serapan air dalam sistem penghadaman bayi.

Senaman ringkas untuk bayi

Senaman ringkas juga baik untuk bayi. Baringkan bayi diatas tilam ,kemudian mula menggerakkan kakinya seperti dia mengayuh basikal. Urutan yang mesra dan lembut menggunakan minyak bayi juga dapat membantu menenangkan bayi.

Bawa bayi anda berjumpa Doktor

Jika selepas mencuba cara-cara ini dan masih tiada perubahan kepada bayi, bawa bayi berjumpa doktor atau lebih baik, pakar kanak-kanak. Ianya tidak digalakkan untul memberikan ubat kepada bayi tanpa nasihat dari doktor.

Bawa bayi berjumpa doktor jika bayi sembelit dan mempunyai najis berdarah, bayi tidak mahu makan dan beratnya tidak naik tanpa sebab yang jelas seperti demam, batuk dan sebagainya.

1 comment

  1. nurul
    August 29, 2019 at 4:02 am

    anak saya berusia dua bulan dan mengalami sukar buang air besar 1bln 20hari seminggu kdang sekli/dua die buang air besar..berwarna hijau gelap..dan hanya susu formula..adekala die merengek tdk selesa perut.dan adakala bila die minum susu die cube menggeliatkan bdn sbb perutnye mungkin tdk selesa..persoalan saya..berapa lamekah proses sukar buang air besar ni berlaku dan adakah ianya normal..saya sudah bawa jumpe doctor pakar kanak dia hanya bgi nsihat untuk buat urutan bayi ,cube tukar susu formula ..najis ank saya lembut ..

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *