Free Delivery for Orders More than RM100!
Bayi

Bayi Ekzema

ekzema

Apa itu ekzema?

Ekzema, juga dikenali sebagai dermatitis, adalah satu kategori penyakit yang dikesan melalui keradangan pada kulit. Ia boleh dilihat dari keadaan kulit yang akan menjadi kemerah-merahan, kering, mengelupas, bersisik dan kadangkala mempunyai cecair meleleh keluar.

Ekzema menyebabkan bayi dan kanak-kanak menjadi gatal dan tidak selesa. Kulit yang kering dan gatal menyebabkan mereka menggaru, dan ini boleh menyebabkan ekzema menjadi lebih teruk, samada berdarah, mendapat jangkitan kuman dan merebak kebahagian kulit yang lain.

Ekzema dapat dikesan seawal bayi berumur sebulan, dan setakat ini tiada ubat untuk menghilangkannya. Terdapat kes ekzema pada bayi yang beransur pulih selepas bayi meningkat dewasa. Namun begitu, terdapat ramai pesakit ekzema yang akan mengalami penyakit ini sepanjang hayat. Dengan langkah penjagaan berkesan, pesakit dapat menjalani kehidupan bermutu tinggi.

Penyakit yang disebut masyarakat sebagai ekzema ini selalunya merujuk kepada ekzema atopik. Ekzema atopik adalah satu penyakit yang berkait rapat dengan genetik ibubapa bayi. Bayi yang mengalami ekzema atopic juga cenderung untuk mempunyai penyakit alahan lain seperti asma dan demam alergi (hay fever).

Ada juga jenis ekzema yang terjadi sebagai tidakbalas atau alahan kepada bendasing. Ini boleh terjadi apabila kulit bayi bersentuhan dengan sesuatu yang dia alah seperti bahan kimia didalam sabun atau logam berat seperti emas.

milk booster malaysia

Sumber gambar:  naturalconcept.ca

Bagaimana mengenalpasti ?

Ekzema dapat dilihat dari perubahan pada kulit bayi. Bahagian kulit yang sering terjejas adalah muka, pelipat siku dan belakang lutut. Ini kerana kulit di bahagian ini adalah nipis dan paling mudah kelihatan. Bahagian badan lain yang juga boleh terjejas adalah kulit kepala, tangan, badan dan kaki.

Ruam yang merah, kulit kering dan kegatalan yang menyebabkan bayi cenderung untuk menggaru adalah tanda yang lazim dilihat pada bayi ekzema. Selain itu, ada juga bayi yang mengalami ekzema yang teruk di mana kulit yang merah itu akan mengeluarkan cecair dan menjadi bersisik. Ini semua membuatkan bayi menjadi tidak selesa, gatal, dan sukar untuk tidur. Kadangkala, bayi akan menggaru kulit yang gatal sehingga berdarah. Ini boleh menyebabkan jangkitan kuman pada luka tersebut.

Punca

Punca sebenar ekzema masih tidak dapat dikenalpasti. Namu begitu, ekzema boleh dikatakan sebagai tindakbalas sistem imunisasi yang terlalu aktif terhadap sesuatu bendasing yang kemudiannya menjadi alahan kepada bayi. Kadangkala, ada juga alahan yang akan hilang setelah meningkat dewasa. Ini kerana sistem imunisasi telah berjaya melawan atau mengawal tindakbalas terhadap alahan tersebut.

Ekzema juga kerap ditemui pada bayi yang mempunyai ibubapa yang ada sejarah menghidapi ekzema, alahan teruk atau asma. Ibubapa yang mempunyai sejarah penyakit berkaitan perlu bersedia dari segi fizikal dan mental apabila mengetahui ibu sedang hamil. Ini memudahkan proses penyesuaian diri jika bayi yang lahir nanti menghadapi ekzema.

Sesetengah bayi akan mendapat ruam atau kegatalan apabila kulit mereka bersentuhan dengan sesuatu permukaan atau terdedah kepada sesuatu keadaan. Sebagai contoh, selepas menyentuh permukaan kasar atau kesat, kulit akan menjadi merah dan gatal. Ada juga yang akan dinaiki ruam apabila terdedah pada persekitaran yang terlalu panas atau sejuk. Bulu binatang, habuk dan debunga juga boleh menyebabkan ruam, kegatalan dan demam alergi.

Selain itu, bayi juga mungkin akan mengalami ekzema apabila kulit mereka bersentuhan dengan saki baki bahan kimia yang menjadi alahan pada kulit mereka. Antaranya adalah bahan kimia dalam sabun badan, sabun basuh baju dan pelembut fabrik. Ada juga bayi yang alah pada logam berat seperti emas atau perak.

Bagaimana didiagnosis?

Apabila terdapat ruam yang luar biasa pada bayi, kebiasaannya pada pipi, tangan dan kepala, ibubapa haruslah membawa bayi berjumpa doktor untuk memastikan bayi menghidapi ekzema dan bukan penyakit lain. Oleh kerana ekzema berkait rapat dengan alahan, ibubapa juga boleh meminta untuk ujian alahan dibuat untuk memastikan apakah pencetus ekzema dan alahan bayi.

Apakah rawatan?

Jika ibubapa mendapat bayi mereka mempunyai ekzema, pastinya mereka mahu melakukan segalanya untuk menyembuhkan penyakit ini. Namun begitu, ekzema tiada ubat mujarab yang boleh menyembuhkan bayi dari penyakit ini. Apa yang boleh dilakukan adalah langkah penjagaan yang dapat meningkatkan mutu kehidupan mereka.

Perkara pertama yang perlu diberi perhatian pada bayi yang mempunyai tanda-tanda ekzema adalah dengan memastikan kulit mereka sentiasa lembab. Apabila kulit bayi timbul ruam dan kemerah-merahan, pastikan kawasan itu sentiasa lembab. Kekeringan akan menyebabkan gatal, dan bayi akan cenderung untuk menggaru. Lebih parah, bayi akan menggaru sehingga luka dan berdarah. Apabila ini terjadi, ibubapa perlu membawa bayi berjumpa doktor untuk diberikan ubat supaya luka tersebut tidak dijangkiti kuman.

Langkah lain yang boleh diambil ialah memastikan bayi memakai pakaian yang menyerap peluh dan tidak kasar. Ini adalah sebagai langkah berhati-hati sekiranya bayi berpeluh atau kulit mereka sensitif pada sentuhan oleh kain kasar. Baju dan seluar yang diperbuat dari kapas adalah lebih baik. Elakkan dari memakai pakaian yang panas dan kasar seperti kain wool.

Sentiasa memastikan persekitaran bayi tidak terlalu panas untuk mengelakkan bayi terlalu berpeluh yang boleh menyebabkan ruam dan gatal. Pakaian dan persekitaran juga sebaiknya mempunyai peredaran udara yang optimum untuk bayi sentiasa nyaman. Namun begitu, jika ibubapa mahu meletakkan bayi di dalam bilik berhawa dingin, pastikan kulit bayi sentiasa lembab. Ini kerana walaupun suhu menurun, kelembapan udara yang menurun didalam bilik berhawa dingin akan membuatkan kulit bayi kering lalu menjadi gatal dan bayi cenderung untuk menggaru.

Jika bayi disahkan ekzema, semua bahan kimia yang ada dalam kehidupan seharian perlulah disemak semula, terutamanya bahan kimia yang akan meninggalkan kesan dan disentuh oleh bayi secara langsung. Ini termasuklah sabun mandian, syampoo, sabun mencuci pakaian dan pelembab yang disapukan pada bayi.

Setiap bayi mempunyai tindakbalas unik pada setiap alahan. Untuk mengetahui produk manakah yang paling sesuai untuk bayi, minta pandangan dari pakar. Ada juga ibubapa yang menggunakan kaedah cuba jaya. Ini melibatkan proses yang panjang di mana setiap produk yang dipakai akan dipantau tindakbalas dari kulit bayi. Cara ini memerlukan kesabaran dan ketelitian dari ibubapa.

Jauhkan bayi dari logam berat jika didapati mereka mempunyai tindakbalas negatif terhadap logam tersebut. Jika pergelangan tangan atau leher bayi kemerah-merahan selepas dipakaikan rantai tangan atau leher, tanggalkan barang kemas tersebut dan lihat jika ada perbezaan pada kulit bayi. Jika hilang ruam atau kemerahan itu, maka bayi itu kemungkinan alah pada logam berat tersebut.

Setelah berjumpa dengan pakar untuk konsultasi, doktor akan mencadangkan krim pelembap atau losyen terbaik yang boleh dicuba untuk megurangkan radang dan melembapkan kulit. Ini adalah dua perkara penting dalam memastikan ekzema berada dalam keadaan terkawal dan bayi sentiasa selesa. Kebiasaannya krim pelembap dan losyen akan disapukan pada bayi selepas mandi dan sekiranya perlu untuk memastikan kulit bayi tidak kering.

Pastikan kuku bayi sentiasa pendek, atau pakaikan bayi sarung tangan. Ini adalah untuk mengelakkan bayi dari menggaru bahagian badan yang gatal. Bukan mudah untuk memastikan bayi sentiasa tidak menggaru, jadi pastikan kulit bayi sentiasa lembap. Bayi ekzema memerlukan krim pelembap dan losyen dalam kuantiti yang banyak. Namun begitu, pastikan krim itu adalah yang sesuai untuk bayi senelum membeli dalam kuantiti yang banyak untuk mengelakkan pembaziran sekiranya bayi tidak sesuai dengan krim tersebut.

Kadangkala doktor akan memberikan krim yang mengandungi steroid pada kadar rendah untuk disapukan pada bayi ekzema. Steroid pada kadar rendah dan kekerapan yang berpatutan seperti disarankan doktor boleh membantu bayi ekzema. Sapukan krim sebegini hanya pada kawasan yang terjejas sahaja. Penggunaan krim steroid pada bayi adalah dibawah seliaan doktor. Jika ibubapa merasakan ketidaksesuaian atau merasa risau tentang penggunaannya, bolehlah berbincang dengan doktor tentang alternatif lain.

Krim yang boleh dibeli di kaunter dan mengandungi steroid adalah untuk mengurangkan keradangan dan perlu diberikan dibawah seliaan doktor. Jika bayi menggaru bahagian kulit yang gatal sehingga berdarah, doktor juga akan memberikan krim antibiotik untuk mengelakkan jangkitan kuman. Antihistamin juga disyorkan untuk mengurangkan kegatalan. Namun begitu, semua ubat-ubatan ini sebaiknya datang dari doktor dan diselia oleh mereka yang pakar.

Sebaiknya, untuk ibubapa yang mempunyai bayi ekzema, sediakan sebuah buku catatan untuk merekodkan aktviti harian bayi. Ini melibatkan baju yang dipakai, sabun dan krim yang digunakan, sabun pencuci baju yang digunakan, makanan yang dimakan oleh bayi dan ibu (jika bayi menyusu), dan persekitaran bayi (cuaca, suhu dan kelembapan udara). Ini kelihatan rumit, tetapi dapat membantu ibubapa dalam menyelia perubahan pada bayi serta mengetahui apakah pencetus ekzema bayi.

Antara perkara lain yang boleh dibuat oleh ibubapa adalah ibu menyusukan bayi secara esklusif selama 6 tahun berdasarkan saranan dari Kementerian Kesihatan Malaysia. Susu ibu dapat membantu menguatkan sistem imunisasi bayi, seterusnya menghalang dari tercetusnya ekzema. Ibu yang menyusu juga seharusnya peka dengan makanan yang dimakan kerana ini akan diberikan secara terus kepada bayi. Catat pemakanan ibu setiap hari untuk membantu dalam mengenalpasti alahan atau pencetus ekzema bayi.

cara banyakkan susu

Namun begitu, haruslah diingatkan pada ibu supaya tidak menukar diet secara mendadak. Ini kerana sesuatu makanan yang dilihat memberi kesan pada bayi tidak semestinya pencetus ekzema. Minta nasihat dari doktor mengenai diet yang sesuai dan susu formula yang baik untuk bayi sekiranya ibu tidak dapat memberikan susu pada bayi. Diet yang terbaik adalah pemakanan seimbang yang mempunyai komposisi nutrien yang lengkap seperti karbohidrat, protein, serat dan zat nutrisi. Ibu juga boleh mendapatkan nasihat pakar pemakanan untuk mengetahui diet yang sesuai.

Akhir sekali, ibubapa perlu mengawasi bayi setiap masa bersama dan tidak tunduk pada permintaan orang sekeliling untuk disapukan atau dimakan ubat itu dan ini, terutamanya yang tidak mempunyai kelulusan dari Kementerian Kesihatan Malaysia. Sistem imunisasi bayi sedang berkembang dan tidak dapat melawan penyakit. Organ dalaman bayi juga sedang membesar dan tidak dapat memproses makanan yang kompleks. Jadi ia amatlah penting untuk meneliti apa yang dimakan dan dipegang oleh bayi terutamanya bayi untuk memastikan ekzema pada bayi tidak tercetus dan terkawal.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *