MOMMA Pregolact
Pasti anda biasa mendengar masalah keliru puting kan? Bagi kebanyakan ibu, masalah keliru puting pastinya mengganggu emosi. Bayi mula menolak penyusuan secara terus dari payudara ibu, dan ini menjadikan penyusuan susu ibu semakin sukar kerana si ibu terpaksa bergantung sepenuhnya dengan kaedah pam.
Kekeliruan puting atau ‘nipple confusion’ adalah masalah yang biasa dihadapi oleh ibu ketika tempoh penyusuan. Kekeliruan puting ini adalah apabila bayi keliru di antara puting ibu dengan puting tiruan.
Untuk Slot Kaunselor Laktasi kali ini, saya akan bantu anda dengan tips-tips penting mengatasi masalah bayi keliru puting.
Jom kita ketahui punca bayi keliru puting.
Kekeliruan ini terjadi kerana apabila bayi menyusu terus daripada badan ibu, bayi perlu bekerja keras. Payudara perlu betul-betul terlekap di mulut bayi dan kemudian lidah si kecil akan mengepam supaya susu mengalir. Manakala, susu botol lebih cepat dan bayi tidak perlu bekerja keras untuk mendapatkan susu berbanding dengan susu badan. Hanya perlu memasukkan puting botol susu di dalam mulut bayi dan susu akan keluar dengan sendirinya.
Apabila si ibu sudah terbiasa memberi susu melalui botol sama ada di rumah atau di tempat penjagaan kanak-kanak, dan anda cuba untuk memberikan susu badan kembali, lalu bayi menolak serta meragam, kemungkinan anak anda sedang dalam keadaan kekeliruan puting.
Ada beberapa cara untuk mengatasi masalah ini iaitu :-
- Hentikan pemberian susu botol buat sementara waktu. Anda perlu cuba untuk menyusu terus dari payudara anda. Jika anak anda perlukan makanan tambahan atau ubat-ubatan daripada doktor, anda boleh menggunakan artenatif lain selain dari menggunakan botol susu. Antara cara lain ialah menggunakan sudu ataupun feeding syringe
- Cuba anda lakukan skin to skin di mana ibu dan anak berbaring bersama di dalam sebuah bilik tanpa mengenakan pakaian kecuali lampin untuk bayi anda. Letakkan bayi anda di atas dada dan biarkan dia menghidu bau anda dan bermain-main dengan puting anda. Jangan memaksa jika bayi anda menolak untuk menghisap puting anda. Lakukan beberapa kali sehingga bayi mahu menghisap puting anda kembali.
- Anda juga boleh susukan bayi anda ketika anak anda sedang mengantuk dan mamai. Ketika ini selalunya anak anda tidak akan menolak.
- Cuba susukan bayi ketika anak anda dalam keadaan tenang dengan cara memberi susu lebih awal sebelum anak anda merasa lapar. Ini kerana, jika anak anda dalam keadaan lapar, bayi anda akan menjadi marah dan tidak selesa apabila susu badan lambat keluar. Kebarangkalian untuk anak anda mahu mencuba sesuatu yang baru itu menjadi sukar.
Penyusuan susu badan adalah lebih baik berbanding penyusuan melalui botol. Ini kerana kajian menunjukkan dengan sentuhan ibu, anak akan merasa lebih selamat. Jumlah angin yang dihisap oleh bayi anda juga adalah kurang berbanding menggunakan botol susu dan apabila anak anda menyusu terus dari badan anda, otot mulutnya akan bekerja. Ia juga bagus untuk jantung,paru-paru dan kesihatan bayi kerana keakraban bersama sang ibu.
Terlalu banyak cabaran kita sebagai ibu menyusukan, saya memahami perasaan anda. Apa pun cabaran yang kita hadapi, jangan kita mengalah dengan keadaan. Anak kita layak mendapat susu terbaik, susu ibu mereka sendiri.
Tiada hadiah yang lebih mewah, lebih berkhasiat untuk bayi anda selain susu ibu.