Free Delivery on orders over RM130. Don’t miss discount.
Petua & Nasihat

Rambut Gugur Selepas Bersalin

rambut gugur selepas bersalin

MOMMA Pregolact

Ramai ibu yang mengalami masalah rambut gugur selepas bersalin. Jangan panik kerana kepala anda tidak akan botak dan masalah ini adalah lumrah bagi ibu-ibu yang baru melahirkan anak. Dikatakan, ianya mengambil masa dari 6 hingga ke 12 bulan selepas bersalin untuk kembali kepada normal.

Ada pendapat mengatakan, apabila anak sudah pandai membuat ‘buih’, masalah rambut gugur selepas bersalin akan semakin menjadi-jadi. Sama ada ianya hanyalah pendapat mitos atau realiti, dikatakan ketika bayi mula menyembur inilah rambut akan gugur dengan banyak. Pada kebiasannya, masalah rambut gugur ini akan dialami dalam masa dua hingga tiga bulan selepas bersalin, iaitu sama fasa dengan bayi mula menyembur air liur.

Rambut mempunyai fasa pertumbuhan dan fasa rehat iaitu apabila rambut kekal di kepala dan akan gugur untuk pertumbuhan rambut baru. Pada ketika ibu sedang hamil, masalah rambut gugur tidak dihadapi kerana rembesan hormon dari uri yang menghalang keguguran rambut. Malah, ibu hamil selalunya mendapati rambut mereka tumbuh lebih lebat dan rambut lebih bersinar dan berkilat pada ketika sedang hamil. Namun, rambut mula akan gugur selepas bersalin terutamanya ketika anda menggunakan syampu.

Antara faktor menyebabkan rambut gugur selepas bersalin:

  1. Perubahan hormon ketika sedang hamil

Hormon progesterone dan estrogen pada ibu hamil adalah sangat tinggi dan ini melambatkan pertumbuhan rambut. Oleh itu, hanya sedikit sahaja rambut yang berada dalam keadaan rehat dan sedikit sahaja yang gugur. Tetapi, selepas bersalin, hormon estrogen mula menurun dan semakin banyak folikel rambut memasuki fasa rehat. Ini bermakna, lebih banyak rambut akan mulai gugur. Jadi, usah risau sekiranya rambut mula gugur dua kali ganda selepas bersalin.

  1. Kesibukan menguruskan anak baru lahir

Kesibukan dalam menguruskan bayi baru lahir sedikit sebanyak akan memberi tekanan, terutamanya kepada ibu yang bekerja. Oleh kerana kesibukan yang dihadapi, para ibu terpaksa menghadkan masa untuk menjaga kesihatan dan kebersihan rambutnya yang sekaligus menyebabkan rambut mudah gugur dengan lebih banyak.

  1. Amalan pemakanan tidak sihat

Sikap tidak mengamalkan pemakanan yang sihat juga menjadi salah satu faktor yang menyumbang kepada terjadinya rambut gugur selepas bersalin. Anda digalakkan untuk mengambil makanan berkhasiat yang diperkaya dengan protein dan zat besi. Contohnya dengan memperbanyakkan makanan seperti telur, daging ayam, makanan gandum, taugeh, sayur-sayuran hijau, buah-buahan segar dan ikan salmon.

Bagi mengurangkan masalah rambut gugur selepas bersalin, anda boleh mengamalkan tips berikut:

  • Menangguhkan rawatan rambut seperti mengerinting, mewarnakan dan meluruskan rambut sehingga keadaan rambut anda kembali normal.
  • Memotong rambut yang panjang bagi megelakkan rambut gugur dengan banyak.
  • Mengamalkan penggunaan syampu yang diperkaya dengan vitamin B yang mampu mengurangkan masalah rambut gugur.
  • Cuba menggunakan syampu yang berunsurkan bahan organik kerana kandungan bahan kimianya lebih rendah.
  • Lazimkan meminum air sekurangnya 8 gelas sehari bagi membekalkan nutrisi yang diperlukan untuk rambut tumbuh dengan kuat dan sihat.
  • Memperbanyakkan pengambilan makanan tambahan yang mengandungi multivitamin, mineral, zink dan kaya dengan protein.
  • Cuba mendapatkan tidur dan rehat yang cukup untuk mengurangkan tekanan.

Masalah rambut gugur selepas bersalin ini selalunya akan berakhir apabila bayi mula mencecah usia 6 hingga 12 bulan. Jadi, usah risau dengan masalah rambut gugur selepas bersalin. Sekiranya, anda masih menghadapi masalah rambut gugur selepas bersalin yang berpanjangan, segeralah dapatkan nasihat doktor kerana itu mungkin petanda awal penyakit postpartum thyroiditis.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *