Free Delivery for Orders More than RM100!
Petua & Nasihat

7 Teknik Penyediaan Makanan Bayi 6 Bulan

MOMMA Pregolact

Menjelang usia bayi 6 bulan, anda sudah boleh mula memperkenalkan makanan pejal yang pertama kepada si manja. Makanan bayi 6 bulan yang disyorkan oleh pakar pemakanan ialah seperti bijirin dan kumpulan buah yang terpilih untuk mengelakkan tercetusnya sebarang alergi kepada bayi. Kementerian Kesihatan menyarankan agar para ibu menyediakan bubur nasi yang dimasak sendiri dan mengelakkan makanan yang siap dimasak.

Antara teknik-teknik  yang boleh diamalkan ketika penyediaan makanan bayi 6 bulan adalah seperti berikut:

  1. Utamakan kebersihan dan kesegaran

Kebersihan dan kesegaran makanan perlu diutamakan apabila bayi anda mula diperkenalkan dengan makanan pejal. Ini adalah kerana, sistem imun atau daya tahan dalam badan bayi masih belum matang dan perut bayi mudah untuk diserang jangkitan. Sentiasalah cuci tangan dengan sabun dan air bersih sebelum memulakan penyediaan hidangan makanan bayi 6 bulan anda.

  1. Steril peralatan makan bayi

Segala kelengkapan peralatan makan bayi 6 bulan perlu disterilkan untuk memastikan ianya bebas bakteria dan kuman. Anda boleh merendam peralatan seperti sudu, mangkuk dan lain-lain ke dalam air yang betul-betul panas. Tekniknya sama seperti mensterilkan botol bayi di dalam air panas. Kemudian, gunakan kain pengelap yang bersih atau kertas tisu untuk mengeringkannya.

Sentiasa tukar kain pengelap dengan kerap dan keringkannya untuk mengelakkan bakteria membiak dan berkumpul pada kain pengelap yang basah. Selain itu, cuci kerusi tinggi bayi, bib dan tempat makan dengan air sabun yang panas bagi mengelakkan kuman yang boleh menyebabkan penyakit di kemudian hari.

  1. Panaskan makanan bayi

Anda perlu memanaskan makanan bayi anda dan apabila memanaskan makanan bayi 6 bulan, pastikan ia benar-benar panas keseluruhannya. Pastikan wap asap dapat dilihat keluar dari makanan yang dipanaskan. Kemudian, biarkan makanan itu sejuk sebelum memberikannya kepada bayi anda. Cuba letakkan sedikit di atas kulit pergelangan tangan anda untuk memeriksa suhu makanan agar tidak terlalu panas. Selain itu, anda diingatkan untuk tidak memanaskan makanan bayi anda lebih daripada sekali.

Gambar: Google

  1. Guna sudu plastik atau hujung jari anda

Anda dinasihatkan untuk menggunakan sudu plastik yang kecil dan nipis supaya ini memudahkan bayi anda mengambil makanan dengan bibir. Ini kerana, bayi berusia 6 bulan masih belum mampu menjilat sudu dengan lidah. Sesetengah pakar menyarankan agar anda menggunakan jari sahaja untuk menyuap makanan kepada bayi anda, tetapi perlulah memastikan jari anda dalam keadaan bersih terlebih dahulu. Caranya ialah dengan mencuit sedikit makanan bayi 6 bulan dengan hujung jari dan suakan kepada mulut bayi anda.

  1. Lenyek dan tapis makanan bayi anda

Setiap sayuran yang berserat atau berbiji perlu dilenyek dan ditapis terlebih dahulu. Ini untuk memastikan anda mendapat tekstur yang lembut pada makanan bayi anda kerana pada tahap umur 6 bulan, sistem penghadaman bayi masih belum mampu untuk menghadam serat sayuran. Begitu juga sekiranya anda mahu memberikan bubur nasi kepada bayi 6 bulan. Anda harus kisar dan tapis terlebih dahulu untuk memudahkan makanan itu dihadamlan oleh perut bayi.

  1. Makanan sejuk beku

Jika anda menggunakan makanan yang disejuk bekukan, anda hendaklah nyahbekukannya dengan sempurna sebelum dipanaskan. Jangan sekali-kali bekukan sesuatu yang telah dinyahbekukan. Ini kerana, makanan yang telah dinyahbekukan telah terdedah kepada bakteria.

  1. Cara penyimpanan yang betul

Jika anda menyediakan makanan bayi 6 bulan dalam kuantiti yang banyak untuk disimpan, sejukkannya dengan segera dan simpan dalam peti sejuk. Makanan yang hendak disimpan di dalam sejuk beku hendaklah ditutup dengan baik untuk mengelakkan ia daripada kering dan bercampur bau dengan makanan yang lain. Adalah diingatkan untuk sentiasa sejuk bekukan mana-mana makanan yang tidak akan digunakan dalam masa 24 jam.

Sekiranya bayi anda tidak menghabiskan makanan, buang sisa makanan tersebut. Ini adalah kerana, makanan yang sudah terkena air liur mengandungi bakteria. Periksalah suhu peti sejuk bahagian sejuk beku anda agar suhunya sentiasa berada di antara -18°C ke 0°C.

Para ibu perlu sentiasa mengamalkan teknik penyediaan makanan bayi 6 bulan yang dikongsikan ini agar kebersihan dan keselamatan makanan bayi adalah terjamin di tahap yang paling optimum, seterusnya mengelakkan pelbagai penyakit yang mungkin timbul pada bayi.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *