Free Delivery on orders over RM130. Don’t miss discount.
Petua & Nasihat

Penyakit Asma Pada Kanak-kanak

tips asma kanak kanak

MOMMA Pregolact

Penyakit asma pada kanak-kanak merupakan salah satu penyakit kronik jangka panjang yang memberi kesan kepada fungsi paru-paru dan boleh menyebabkan kesukarkan untuk bernafas. Kanak-kanak yang mempunyai penyakit asma juga akan cepat menjadi letih dan tidak boleh terlalu aktif semasa melakukan aktiviti fizikal.

Antara punca penyakit asma adalah alahan kepada sesetengah jenis makanan, habuk, hama dan bulu binatang. Selain itu, perubahan cuaca yang tidak menentu, masalah jerebu yang teruk dan kerap terdedah kepada asap rokok menjadi faktor tambahan berlakunya penyakit ini. Kanak-kanak yang menghidapi ekzema juga berpotensi untuk mendapat penyakit asma.

Penyakit asma menyebabkan batuk yang kuat dan beterusan kepada kanak-kanak. Batuk ini biasanya menjadi lebih teruk pada waktu tengah malam dan di awal pagi. Jika terdapat bunyi wheezing yang kuat, dada mula ‘berombak-ombak’ dan kesukaran bernafas mula terjadi, segera dapatkan rawatan kecemasan di hospital atau klinik yang berdekatan.

Apa tindakan yang perlu diambil oleh ibu bapa?

  1. Pantau kesihatan anak dan bawa anak berjumpa doktor

Penyakit asma pada kanak-kanak tidak boleh dipandang ringan oleh ibu bapa. Jumpalah doktor dengan kadar segera untuk mendapatkan nasihat penting berkaitan rawatan dan ubat yang sesuai. Pantau tumbesaran kanak-kanak yang menghidapi penyakit asma secara berkala kerana kesan sampingan pengambilan ubat dikhuatiri boleh menaikkan berat badan dengan mendadak. Ibu bapa juga perlu mengawasi pergerakan kanak-kanak ini dan ikutlah jadual pemeriksaan kesihatan yang telah ditetapkan.

  1. Ketahui tanda-tanda awal penyakit asma

Salah satu tanda penyakit asma pada kanak-kanak adalah batuk yang tidak henti  walaupun telah diberikan ubat batuk. Batuk yang berpanjangan ini jika dibiarkan oleh ibu bapa boleh menyebabkan jangkitan pada paru-paru terutamanya apabila kahak mula terhasil. Kesukaran untuk bernafas atau tidak cukup nafas ketika menjalani aktiviti harian juga merupakan simptom penyakit asma pada kanak-kanak. Tanda-tanda awal yang lain adalah sering tercungap-cungap apabila bercakap, lesu dan kurang makan.

  1. Kenali faktor utama penyakit asma

Sebagai contoh, kanak-kanak itu pasti diserang asma setiap kali bermain, baring atau melompat-lompat di atas permaidani. Hal ini jelas menunjukkan habuk yang banyak terkumpul pada permaidani sebagai faktor utama terjadinya penyakit ini. Jadi, ibu bapa bolehlah mengambil langkah berjaga-jaga dengan menggantikan permaidani itu dengan tikar getah ataupun mencucinya dengan kerap menggunakan penyedut hampagas. Ingatlah bahawa mencegah itu lebih baik daripada mengubati.

  1. Ambil tahu penggunaan inhaler

Sekiranya dinasihatkan untuk menggunakan inhaler, ibu bapa perlu mengetahui cara penggunaan yang betul daripada doktor atau jururawat. Ikuti jumlah sukatan (puff) dan selang waktu yang disarankan oleh doktor apabila hendak menggunakan inhaler. Selain itu, dapatkan panduan bertulis mengenai ubat-ubatan yang berbeza bagi penyakit asma agar tidak mendatangkan masalah lain yang lebih serius.

  1. Bertindak dengan cepat dan tidak berlengah

Tindakan pantas ibu bapa dapat mengelakkan penyakit asma pada kanak-kanak daripada bertambah parah. Jangan berlengah-lengah jika tanda-tanda penyakit asma sudah kelihatan. Berikan inhaler mengikut sukatan yang dinasihatkan doktor. Pada kebiasaanya, apabila nafas menjadi laju dan berbunyi wheezing, doktor akan mengarahkan ibu bapa untuk menambah kekerapan penggunaan inhaler. Jika penyakit asma semakin teruk, dapatkan rawatan kecemasan dengan segera di hospital atau klinik.

PERINGATAN: Simpan inhaler di tempat yang mudah dicari ketika berlaku kecemasan dan pastikan juga bekalan ubatan sentiasa cukup.

Kami di MOMMA® berharap agar panduan yang disediakan ini dapat membantu ibu bapa untuk menyiapkan diri dan bertindak dengan cepat apabila berlaku kes seperti ini di rumah atau di mana-mana sahaja.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *